Sunday, April 27, 2008

Kenaikan Harga Bahan Makanan

Kenyataan "Stok beras di Kedah cukup” oleh Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Sungai Petani, Zawawi Abd. Ghani tidak dapat mengubah kenaikan harga beras di Malaysia.

Hakikatnya harga beras di seluruh negara mencatatkan kenaikan mendadak antara 10 peratus hingga 20 peratus sejak minggu lalu yang rata-rata disandarkan kepada punca daripada peningkatan harga beras global.

Dalam Utusan 23 April di sungai petani beliau berkata, semakan yang dibuat oleh KPDNHEP negeri juga mendapati, tiada masalah kekurangan stok beras sejak tiga bulan lalu. "Tidak dinafikan harga beras ada sedikit-sebanyak peningkatan, namun ia membabitkan beras import dan bukannya beras tempatan.

Namun hakikatnya, tinjauan dan pemantauan pelbagai pihak mendapati beras Super Special 5 peratus tempatan jenama Jasmine naik antara RM3 hingga RM4 sekampit dengan harga terbaru RM15.90 bagi kampit 5 kilogram berbanding RM12.90 sebelum ini dan RM28.80 bagi kampit 10 kilogram berbanding RM24.80.

Kenaikan harga beras tempatan jenama jasmine ini sekaligus mewujudkan satu dilemma atas kenyataan beliau iaitu "Harga beras tempatan dikawal oleh kerajaan,'' ketika ditemui pemberita selepas majlis lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Masyarakat Siam; Perpaduan; Pekerja Ladang dan Masyarakat India Kedah, V. Arumugam di Taman Ria pada 23 April 2008.

Manakala Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Othman Muhamad berkata pada 22 April 2008 di Melaka, harga beras masih ditentukan oleh negara pengeluar seperti Thailand dan Vietnam walaupun kerajaan mengimport lebih 700,000 tan metrik beras setahun dari negara berkenaan. Kegagalan beberapa negara luar untuk memberi penekanan sewajarnya dalam industri pertanian turut menjadi penyumbang kepada krisis makanan dunia, seperti kekurangan bekalan beras yang dihadapi negara ketika ini.

Justeru katanya, langkah terbaik bagi mengatasi masalah tersebut ialah dengan mempertingkatkan pengeluaran padi negara supaya kadar sara diri beras negara mencecah 90 peratus.

"Sebab itu kalau kita tengok, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kerajaan begitu menekankan pembangunan dalam sektor pertanian.

"Dalam RMK-9, kerajaan telah meletakkan sasaran kadar pertumbuhan purata sebanyak 9.4 peratus setahun manakala sasaran kadar sara diri beras akan ditingkatkan kepada 90 peratus berbanding 72 peratus pada masa ini.

"Bagi mencapai sasaran ini, agensi pelaksana boleh merancang dan memohon peruntukan untuk kemajuan sawah padi seperti penambahbaikan sistem pengairan dan saliran dan sebagainya," katanya ketika merasmikan Program Hari Ladang dan Industri Asas Tani Kawasan Perkhidmatan Kandang/Padang Temu di sini baru-baru ini.

Manakala pada 22 April lalu, jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merujuk kejadian kenaikan harga bahan makanan ini sebagai "tsunami senyap" yang mengancam lebih 100 juta penduduk dunia di setiap penjuru bumi ini.

Dalam sebuah artikel yang diterbitkan oleh majalah British New Statesman bertajuk "The Trading Frenzy That Sent Prices Soaring," menyatakan bahawa peningkatan dalam jumlah penduduk dan penukaran kepada biofuel adalah faktor penting dalam kenaikan harga barangan.
Menurut majalah tersebut, walaupun faktor-faktor jangka panjang daripada kenaikan harga bahan makanan itu penting untuk diperhatikan tetapi ia bukan faktor sebenar kepada kenaikan harga bahan makanan yang berkali ganda itu atau kenapa India harus mencatu eksport berasnya. Ia sebenarnya disebabkan oleh krisis kredit.

Artikel itu menyebut krisis makanan yang telah berlaku dalam jangka masa pendek - dalam jangka masa 18 bulan - berpunca daripada spekulasi dalam mainan harga komoditi masa depan berikutan jatuhnya pasaran kewangan derivatif.

Terdesak mendapatkan pulangan segera, penyangak spekulator ini telah mengaut keuntungan bertrilion dolar dalam ekuiti dan bon gadaian dan cagaran daripada penglibatan dalam bahan makan dan bahan mentah.

Di Wall Street ia dipanggil komoditi-pusingan-super (commodities-super-cycle) dan akan menyebabkan kebuluran pada skala yang besar.

Harga dunia untuk komoditi asas seperti bijirin, minyak masak dan susu telah meningkat dengan tetap sejak tahun 2000 tetapi meningkat dengan mendadak sejak krisis kewangan di AS pada tahun 2006.

Sejak 2006, purata harga beras dunia telah meningkat pada 217 peratus, gandum sebanyak 136 peratus, jagung 125 peratus dan kacang soya sebanyak 107 peratus.

Di bawah keadaan hutang yang semakin meningkat timbul daripada krisis sub-prima di AS itu, kumpulan-kumpulan spekulator dan dana perlindungan telah menukarkan pelaburan daripada sekuriti tinggi yang dikenali sebagai 'gedung nilai' (stores of values) termasuklah emas dan minyak kepada 'komoditi lembut' (soft-commodities) seperti jagung, koko, lembu dan seumpamanya.

Artikel dalam majalah New Statesman menyatakan bahawa: "spekulator telah membuat taruhan ke atas harga air juga".

Majalah tersebut menyimpulkan: "seperti melambungnya harga rumah, harga komoditi bergantung kepada inflasi. Ramai spekulator bertaruh kepada barangan komoditi.
"Masalahnya ialah jika anda adalah salah seorang daripada 2.8 bilion penduduk bumi dan hampir setengah daripadanya hidup dengan kurang daripada AS$2 sehari, anda mungkin mendapat keuntungan dengan mempertaruhkan nyawa mereka".

Trend sekarang menurut saranan penganalisis pasaran utama pelaburan ialah dalam 'komoditi lembut.'

Menurut Patrick Armstrong, seorang pengurus Insight Investment Management di London, "Bahan mentah boleh menjadi kelas pelaburan terbaik untuk dana perlindungan kerana pasarannya tidak menentu. Ia membuka ruang untuk keuntungan."

Spekulasi Kebanyakan daripada spekulasi antarabangsa dalam komoditi makanan mengambil tempat di Bursa Tukaran Chicago (CHX) di mana sejumlah kegiatan dana perlindungan, bank-bank pelaburan dan dana persaraan telah meningkatkan kegiatan pelaburan mereka sepanjang dua tahun lalu.

Sejak Januari lalu sahaja, kegiatan pelaburan di sektor pertanian telah meningkat sebanyak seperempat di CHX.

Menurut sebuah firma di Chicago, Cole Partners, yang terlibat dalam dana perlindungan, sektor bahan mentah telah meningkat tiga kali ganda sepanjang dua tahun lalu sehingga mencecah jumlah AS$55 bilion.

Pelabur berskala besar dana perlindungan dan persaraan telah membeli komoditi masa depan - saham dalam barangan dan bahan makanan untuk dihantar kepada tarikh yang ditetapkan pada masa depan.

Apabila harga komoditi meningkat dengan ketaranya antara masa pelaburan dan tarikh penghantaran, para pelabur akan mengaut keuntungan lumayan.

Dalam kes krisis makanan semasa, jaminan pulangan yang lumayan sudah tentu dikaut dalam pelaburan yang dilakukan. Dalam rujukan yang dibuat kepada angka CHX, komoditi masa depan bagi gandum (untuk penghantaran bulan Disember) dijangka meningkat sekurang-kurangnya sebanyak 73 peratus, kacang soya 52 peratus dan minyak soya sebanyak 44 peratus.
Malapetaka ekologi seperti kemarau di Australia yang menjejaskan pengeluaran makanan dan meningkatkan harga komoditi adalah berita baik untuk pelabur korporat.

Pengurangan tuaian hasil seperti gandum di Australia dan Kanada pada tahun ini akan meningkatkan harganya. Bank Deutsche dari Jerman Bank menganggarkan bahawa harga untuk jagung akan meningkat dua kali ganda sebanyak 80 peratus dalam jangka masa pendek.
Malapetaka ekologi seperti ini akan menjejaskan kegiatan petani dan peningkatan harga bahan makanan akan menjadikan petani di negara sedang membangun bertambah miskin.
Keadaan ini adalah kesan daripada ketidaktentuan pasaran bahan mentah yang menjadikan 'komoditi lembut' berisiko kepada penyangak spekulator yang hauskan keuntungan sahaja.
Apa yang berlaku kini ialah sifat ketamakan penyangak spekulator yang memikirkan keuntungan peribadi dengan mempertaruhkan nyawa manusia di serata dunia.

Apakah yang dapat dilakukan oleh kerajaan dunia bagi menangani kes seperti ini. Pasaran bebas dan fundamentalisme pasaran ternyata membawa malapetaka kepada petani dan penduduk dunia.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home