ASLI MALAYSIA - ISU PELUK ISLAM DI MALAYSIA
Pada bulan April 2008 Kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan satu peraturan baru yang mewajuibkan setiap pemeluk agam Islam mengistiharkan pemelukkan mereka secara terbuka.
Bersama ini dilampirkan petikan dari Utusan Malaysia yang berbunyi:
PUTRAJAYA 10 April - Kerajaan akan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan memeluk Islam yang dibuat secara senyap-senyap seperti diamalkan sebelum ini mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.
''Pada masa ini tidak ada peraturan itu. Oleh itu, kita perlu fikirkan satu peraturan mewajibkan orang yang hendak memeluk Islam jangan buat senyap-senyap.
''Mereka perlu beritahu keluarga kerana ini perkara penting. Kita tidak mahu berlaku masalah yang menyulitkan semua pihak terutama ketika dia meninggal dunia di kemudian hari," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-47 di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz.
Abdullah berkata, peraturan itu perlu kerana ada kalanya individu yang memeluk Islam akan membawa sama anak-anak mereka untuk berbuat demikian.
Kata beliau, dalam hal ini hak pasangan masing-masing juga perlu dihormati kerana mungkin ada perjanjian telah ditandatangani ketika melangsungkan perkahwinan secara sivil sebelum ini.
Ditanya sama ada satu undang-undang khusus perlu diwujudkan, Perdana Menteri berkata: ''Kena adakan peraturan. Bila orang itu datang hendak peluk Islam, kena tanya isteri. Dah tahu ke? Takkan dia hendak sorok pula. Kalau dia hendak peluk Islam apa salahnya."
Perdana Menteri berkata, mesyuarat hari ini turut dimaklumkan mengenai keputusan Kabinet menyerahkan peranan mengeluarkan sijil halal kepada Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).
Katanya, langkah itu selari dengan peranan HDC dalam mempromosikan perkembangan industri halal di negara ini selain meningkatkan kemajuan industri tersebut bersama jabatan-jabatan kerajaan lain.
Bagaimanapun, tegasnya, sijil halal tersebut masih mengekalkan sijil halal dengan logo Jakim.
Katanya, ini penting kerana sijil halal yang dikeluarkan Jakim telah diiktiraf dan diakui seluruh dunia.
''Dari segi penyelidikan sebelum sijil halal dikeluarkan juga akan terus dijalankan oleh pegawai Jakim yang akan berkhidmat di bawah HDC.
''Selain itu, latihan kepada pegawai juga akan terus dijalankan oleh Jakim," katanya.
Sehari kemudian Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) membuat komen berbunyi:
KUALA LUMPUR 11 April (UTUSAN) - Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) hari ini membantah langkah kerajaan memperkenalkan satu peraturan mewajibkan mereka yang mahu memeluk Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka. Naib Presidennya, Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, Macma berpendapat langkah kerajaan itu tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya ia hanya akan membantutkan usaha dakwah untuk menarik minat lebih ramai orang bukan Islam menganut Islam. Beliau berkata, banyak pihak tidak sedar bahawa bebanan serta tekanan menjadi saudara baru terutama di peringkat awal adalah amat hebat kerana kebanyakan keluarga tidak merestui mereka menganut Islam. ''Dugaan dan cabaran yang kami terima tidak sehebat mereka yang telah menganut Islam sejak dilahirkan.
Macma sendiri pernah menerima aduan yang mana hidup saudara-saudara baru tertekan selepas memberitahu status keislaman mereka pada keluarga masing-masing. ''Ini merupakan satu keadaan yang amat malang dan yang lebih malang lagi ada antaranya keluar dari Islam dan menganut agama asal. Keluarga mereka sanggup buat apa sahaja asalkan anak mereka itu kembali murtad,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas keputusan kerajaan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan memeluk Islam yang dibuat secara senyap-senyap seperti diamalkan sebelum ini, mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.
Mohd. Ridhuan berkata, beliau sendiri terpaksa memberitahu keluarganya selepas setahun memeluk Islam. Ujarnya, seperti yang dijangka kesemua ahli keluarganya termasuk ibu bapanya menentang keras tindakannya itu hingga beliau terpaksa berhadapan dengan cabaran itu secara berseorangan. ''Alhamdulillah Allah telah memberi kekuatan kepada saya untuk menghadapi cabaran tersebut, cuma apa yang saya mahu timbulkan di sini ialah mengenai penentangan hebat daripada keluarga saya walaupun saya telah menganut Islam selama setahun. ''Persoalannya bagaimana pula dengan mereka yang memeluk Islam dalam tempoh sehari atau seminggu dan mereka terpaksa memberitahu keluarga dalam tempoh terdekat.
Pada Hemat Saya di muka 10 ''Adakah dalam tempoh ini mereka mempunyai satu kekuatan yang mampu menahan tentangan daripada keluarga masing-masing? Saya tidak fikir mereka mampu menghadapinya,'' ujarnya. Beliau berkata, hakikatnya, kebanyakan keluarga bukan Islam di negara ini tidak mahu anak-anak mereka memeluk agama suci itu. ''Kita perlu akui sifat prejudis yang tinggi pada keluarga bukan Islam terhadap anak-anak yang memeluk Islam di Malaysia. Kita tidak boleh menafikan fakta ini,'' katanya lagi. Katanya, beliau bercakap berdasarkan pengalaman dan sehubungan itu Macma tidak mahu peraturan itu menyekat hasrat orang bukan Islam menganut Islam. ''Macma bimbang jika peraturan ini dikuatkuasakan ia akan lebih membebankan mereka dan akhirnya mereka kembali ke agama asal,'' tambahnya.
Ketika diberitahu tujuannya adalah untuk mengelakkan perkara berbangkit, beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya timbul kerana saudara baru mempunyai dokumen-dokumen sebagai bukti keislamannya. ''Jika tidak ada dokumen mayat mereka akan diserahkan kepada keluarga asal untuk diuruskan seperti kes Nyonya Tahir. Janganlah disebabkan timbul satu dua kes, kerajaan terburu-buru memperkenalkan peraturan ini,'' tambahnya. Dalam pada itu, beliau kesal dengan tindakan kerajaan yang tidak merujuk dengan mana-nama persatuan seperti Macma sebelum memperkenalkan apa jua peraturan berkaitan saudara baru.
Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin tampil mengeluarkan padangan beliau yang berbunyi:
KANGAR 11 April (UTUSAN) - Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berharap peraturan yang dicadangkan oleh kerajaan untuk mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam supaya mengisytiharkan status terkini mereka tidak akan menyukarkan atau mendatangkan kerugian. Katanya, peraturan itu tidak boleh dilakukan tergesa-gesa sebaliknya perbincangan lanjut perlu diadakan bagi memastikan perkara itu tidak memudaratkan mereka yang terbabit. "Saya setuju dengan peraturan itu tapi masih perlu perbincangan dilakukan," katanya di sini hari ini.
Mohd. Asri berkata, pengisytiharan memeluk Islam tidak menimbulkan masalah tetapi jika mereka yang terbabit diwajibkan memohon keizinan keluarga, ia akan menimbulkan masalah besar. "Saya tidak setuju sama sekali jika peraturan itu turut memasukkan perkara yang mewajibkan mereka memohon izin keluarga," katanya.
Beliau berkata, jika keizinan keluarga diwajibkan bermakna hasrat mereka yang terbabit untuk memeluk Islam akan terbantut kerana mereka akan berhadapan dengan tentangan. "Mana-mana orang yang telah dewasa mempunyai hak untuk memeluk Islam dan tidak perlu memohon keizinan keluarga," katanya. - Bernama
Lain-lain pandangan adalah seperti dalam petikan Utusan Malaysia bertarikh 11 April 2008 yang berbunyi:
KUALA LUMPUR 11 April - Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyambut baik cadangan kerajaan supaya orang bukan Islam yang mahu memeluk agama Islam memaklumkan perkara itu kepada keluarga masing-masing. Setiausaha Agungnya, Dr. Roslan Mohamad berkata, ini membuktikan bahawa Islam bukan satu agama yang mengamalkan sikap suka memaksa sebaliknya pengislaman seseorang itu dibuat secara terbuka dan atas kerelaan individu berkenaan.
Bagaimanapun PUM berharap cadangan itu tidak sampai menjadi suatu perkara yang wajib kerana ia akan menyulitkan urusan pengislaman seseorang bakal saudara baru. "Dalam Islam, kita disuruh memudahkan kerja dan bukannya menyulitkan," katanya semasa diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa peraturan itu bertujuan mengelak masalah di kemudian hari kepada semua pihak terutama apabila berlaku kematian. Roslan berkata, jika selepas pemberitahuan itu berlaku penentangan keluarga, ia bukan lagi satu masalah kepada bakal saudara baru itu. "Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi mereka, memberi bantuan kewangan kerana mereka termasuk di dalam asnaf orang yang berhak menerima zakat," katanya.
Di Ipoh, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pula mahu kerajaan melakukan kajian terperinci sebelum melaksanakan peraturan berkenaan kerana bimbang ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada bakal saudara baru. "Sekiranya dengan menceritakan masuk Islam itu mendatangkan mudarat dan ancaman kepada bakal saudara baru, adalah lebih baik tindakan masuk agama Islam itu disembunyikan (daripada pengetahuan keluarga)," katanya. Beliau yang kini berada di Singapura bagaimanapun menegaskan tidak menjadi kesalahan jika kerajaan mahu mengadakan peraturan sedemikian.
Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Suhaimi Mohamad berkata, pengalaman perebutan menguruskan jenazah pendaki Gunung Everest pertama negara, Allahyarham M. Moorty atau nama Islamnya Mohamad Abdullah selama sembilan hari dengan keluarga Allahyarham pada Disember 2005 membuktikan betapa pentingnya keluarga dimaklumkan apabila seseorang itu memeluk Islam.
Bagaimanapun, katanya, di dalam tentera, semua urusan termasuk urusan pertukaran agama dibuat dengan teliti dan direkodkan supaya sebarang masalah yang timbul dapat diatasi dengan cepat. "Tidak timbul masalah sama ada keluarga setuju atau tidak dengan hasrat anggota keluarga mereka hendak menerima Islam kerana dalam perlembagaan sendiri secara terang sudah menyebut yang seseorang itu boleh membuat keputusan sendiri bila dia mencapai umur 18 tahun," katanya. "Matlamat mengisytiharkan langkah hanyalah sebagai menghormati ibu bapa yang membesarkan kita dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus berbuat baik kepada keluarga walaupun berlainan agama," katanya.
Setiausaha Kongres India Muslim Malaysia, (Kimma) Kamal Batcha Nor Mohideen berkata, Kimma menyambut baik cadangan itu kerana ia akan mendekatkan lagi semua agama. - Bernama
Apa pandangan anda? dan Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri? Kenapa tidak mufti?
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home