Sunday, April 27, 2008

Kenaikan Harga Bahan Makanan

Kenyataan "Stok beras di Kedah cukup” oleh Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Sungai Petani, Zawawi Abd. Ghani tidak dapat mengubah kenaikan harga beras di Malaysia.

Hakikatnya harga beras di seluruh negara mencatatkan kenaikan mendadak antara 10 peratus hingga 20 peratus sejak minggu lalu yang rata-rata disandarkan kepada punca daripada peningkatan harga beras global.

Dalam Utusan 23 April di sungai petani beliau berkata, semakan yang dibuat oleh KPDNHEP negeri juga mendapati, tiada masalah kekurangan stok beras sejak tiga bulan lalu. "Tidak dinafikan harga beras ada sedikit-sebanyak peningkatan, namun ia membabitkan beras import dan bukannya beras tempatan.

Namun hakikatnya, tinjauan dan pemantauan pelbagai pihak mendapati beras Super Special 5 peratus tempatan jenama Jasmine naik antara RM3 hingga RM4 sekampit dengan harga terbaru RM15.90 bagi kampit 5 kilogram berbanding RM12.90 sebelum ini dan RM28.80 bagi kampit 10 kilogram berbanding RM24.80.

Kenaikan harga beras tempatan jenama jasmine ini sekaligus mewujudkan satu dilemma atas kenyataan beliau iaitu "Harga beras tempatan dikawal oleh kerajaan,'' ketika ditemui pemberita selepas majlis lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Masyarakat Siam; Perpaduan; Pekerja Ladang dan Masyarakat India Kedah, V. Arumugam di Taman Ria pada 23 April 2008.

Manakala Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Othman Muhamad berkata pada 22 April 2008 di Melaka, harga beras masih ditentukan oleh negara pengeluar seperti Thailand dan Vietnam walaupun kerajaan mengimport lebih 700,000 tan metrik beras setahun dari negara berkenaan. Kegagalan beberapa negara luar untuk memberi penekanan sewajarnya dalam industri pertanian turut menjadi penyumbang kepada krisis makanan dunia, seperti kekurangan bekalan beras yang dihadapi negara ketika ini.

Justeru katanya, langkah terbaik bagi mengatasi masalah tersebut ialah dengan mempertingkatkan pengeluaran padi negara supaya kadar sara diri beras negara mencecah 90 peratus.

"Sebab itu kalau kita tengok, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kerajaan begitu menekankan pembangunan dalam sektor pertanian.

"Dalam RMK-9, kerajaan telah meletakkan sasaran kadar pertumbuhan purata sebanyak 9.4 peratus setahun manakala sasaran kadar sara diri beras akan ditingkatkan kepada 90 peratus berbanding 72 peratus pada masa ini.

"Bagi mencapai sasaran ini, agensi pelaksana boleh merancang dan memohon peruntukan untuk kemajuan sawah padi seperti penambahbaikan sistem pengairan dan saliran dan sebagainya," katanya ketika merasmikan Program Hari Ladang dan Industri Asas Tani Kawasan Perkhidmatan Kandang/Padang Temu di sini baru-baru ini.

Manakala pada 22 April lalu, jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merujuk kejadian kenaikan harga bahan makanan ini sebagai "tsunami senyap" yang mengancam lebih 100 juta penduduk dunia di setiap penjuru bumi ini.

Dalam sebuah artikel yang diterbitkan oleh majalah British New Statesman bertajuk "The Trading Frenzy That Sent Prices Soaring," menyatakan bahawa peningkatan dalam jumlah penduduk dan penukaran kepada biofuel adalah faktor penting dalam kenaikan harga barangan.
Menurut majalah tersebut, walaupun faktor-faktor jangka panjang daripada kenaikan harga bahan makanan itu penting untuk diperhatikan tetapi ia bukan faktor sebenar kepada kenaikan harga bahan makanan yang berkali ganda itu atau kenapa India harus mencatu eksport berasnya. Ia sebenarnya disebabkan oleh krisis kredit.

Artikel itu menyebut krisis makanan yang telah berlaku dalam jangka masa pendek - dalam jangka masa 18 bulan - berpunca daripada spekulasi dalam mainan harga komoditi masa depan berikutan jatuhnya pasaran kewangan derivatif.

Terdesak mendapatkan pulangan segera, penyangak spekulator ini telah mengaut keuntungan bertrilion dolar dalam ekuiti dan bon gadaian dan cagaran daripada penglibatan dalam bahan makan dan bahan mentah.

Di Wall Street ia dipanggil komoditi-pusingan-super (commodities-super-cycle) dan akan menyebabkan kebuluran pada skala yang besar.

Harga dunia untuk komoditi asas seperti bijirin, minyak masak dan susu telah meningkat dengan tetap sejak tahun 2000 tetapi meningkat dengan mendadak sejak krisis kewangan di AS pada tahun 2006.

Sejak 2006, purata harga beras dunia telah meningkat pada 217 peratus, gandum sebanyak 136 peratus, jagung 125 peratus dan kacang soya sebanyak 107 peratus.

Di bawah keadaan hutang yang semakin meningkat timbul daripada krisis sub-prima di AS itu, kumpulan-kumpulan spekulator dan dana perlindungan telah menukarkan pelaburan daripada sekuriti tinggi yang dikenali sebagai 'gedung nilai' (stores of values) termasuklah emas dan minyak kepada 'komoditi lembut' (soft-commodities) seperti jagung, koko, lembu dan seumpamanya.

Artikel dalam majalah New Statesman menyatakan bahawa: "spekulator telah membuat taruhan ke atas harga air juga".

Majalah tersebut menyimpulkan: "seperti melambungnya harga rumah, harga komoditi bergantung kepada inflasi. Ramai spekulator bertaruh kepada barangan komoditi.
"Masalahnya ialah jika anda adalah salah seorang daripada 2.8 bilion penduduk bumi dan hampir setengah daripadanya hidup dengan kurang daripada AS$2 sehari, anda mungkin mendapat keuntungan dengan mempertaruhkan nyawa mereka".

Trend sekarang menurut saranan penganalisis pasaran utama pelaburan ialah dalam 'komoditi lembut.'

Menurut Patrick Armstrong, seorang pengurus Insight Investment Management di London, "Bahan mentah boleh menjadi kelas pelaburan terbaik untuk dana perlindungan kerana pasarannya tidak menentu. Ia membuka ruang untuk keuntungan."

Spekulasi Kebanyakan daripada spekulasi antarabangsa dalam komoditi makanan mengambil tempat di Bursa Tukaran Chicago (CHX) di mana sejumlah kegiatan dana perlindungan, bank-bank pelaburan dan dana persaraan telah meningkatkan kegiatan pelaburan mereka sepanjang dua tahun lalu.

Sejak Januari lalu sahaja, kegiatan pelaburan di sektor pertanian telah meningkat sebanyak seperempat di CHX.

Menurut sebuah firma di Chicago, Cole Partners, yang terlibat dalam dana perlindungan, sektor bahan mentah telah meningkat tiga kali ganda sepanjang dua tahun lalu sehingga mencecah jumlah AS$55 bilion.

Pelabur berskala besar dana perlindungan dan persaraan telah membeli komoditi masa depan - saham dalam barangan dan bahan makanan untuk dihantar kepada tarikh yang ditetapkan pada masa depan.

Apabila harga komoditi meningkat dengan ketaranya antara masa pelaburan dan tarikh penghantaran, para pelabur akan mengaut keuntungan lumayan.

Dalam kes krisis makanan semasa, jaminan pulangan yang lumayan sudah tentu dikaut dalam pelaburan yang dilakukan. Dalam rujukan yang dibuat kepada angka CHX, komoditi masa depan bagi gandum (untuk penghantaran bulan Disember) dijangka meningkat sekurang-kurangnya sebanyak 73 peratus, kacang soya 52 peratus dan minyak soya sebanyak 44 peratus.
Malapetaka ekologi seperti kemarau di Australia yang menjejaskan pengeluaran makanan dan meningkatkan harga komoditi adalah berita baik untuk pelabur korporat.

Pengurangan tuaian hasil seperti gandum di Australia dan Kanada pada tahun ini akan meningkatkan harganya. Bank Deutsche dari Jerman Bank menganggarkan bahawa harga untuk jagung akan meningkat dua kali ganda sebanyak 80 peratus dalam jangka masa pendek.
Malapetaka ekologi seperti ini akan menjejaskan kegiatan petani dan peningkatan harga bahan makanan akan menjadikan petani di negara sedang membangun bertambah miskin.
Keadaan ini adalah kesan daripada ketidaktentuan pasaran bahan mentah yang menjadikan 'komoditi lembut' berisiko kepada penyangak spekulator yang hauskan keuntungan sahaja.
Apa yang berlaku kini ialah sifat ketamakan penyangak spekulator yang memikirkan keuntungan peribadi dengan mempertaruhkan nyawa manusia di serata dunia.

Apakah yang dapat dilakukan oleh kerajaan dunia bagi menangani kes seperti ini. Pasaran bebas dan fundamentalisme pasaran ternyata membawa malapetaka kepada petani dan penduduk dunia.

Friday, April 11, 2008

ASLI MALAYSIA - ISU PELUK ISLAM DI MALAYSIA

Pada bulan April 2008 Kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan satu peraturan baru yang mewajuibkan setiap pemeluk agam Islam mengistiharkan pemelukkan mereka secara terbuka.
Bersama ini dilampirkan petikan dari Utusan Malaysia yang berbunyi:
PUTRAJAYA 10 April - Kerajaan akan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan memeluk Islam yang dibuat secara senyap-senyap seperti diamalkan sebelum ini mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.

''Pada masa ini tidak ada peraturan itu. Oleh itu, kita perlu fikirkan satu peraturan mewajibkan orang yang hendak memeluk Islam jangan buat senyap-senyap.

''Mereka perlu beritahu keluarga kerana ini perkara penting. Kita tidak mahu berlaku masalah yang menyulitkan semua pihak terutama ketika dia meninggal dunia di kemudian hari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-47 di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz.

Abdullah berkata, peraturan itu perlu kerana ada kalanya individu yang memeluk Islam akan membawa sama anak-anak mereka untuk berbuat demikian.

Kata beliau, dalam hal ini hak pasangan masing-masing juga perlu dihormati kerana mungkin ada perjanjian telah ditandatangani ketika melangsungkan perkahwinan secara sivil sebelum ini.
Ditanya sama ada satu undang-undang khusus perlu diwujudkan, Perdana Menteri berkata: ''Kena adakan peraturan. Bila orang itu datang hendak peluk Islam, kena tanya isteri. Dah tahu ke? Takkan dia hendak sorok pula. Kalau dia hendak peluk Islam apa salahnya."

Perdana Menteri berkata, mesyuarat hari ini turut dimaklumkan mengenai keputusan Kabinet menyerahkan peranan mengeluarkan sijil halal kepada Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).
Katanya, langkah itu selari dengan peranan HDC dalam mempromosikan perkembangan industri halal di negara ini selain meningkatkan kemajuan industri tersebut bersama jabatan-jabatan kerajaan lain.

Bagaimanapun, tegasnya, sijil halal tersebut masih mengekalkan sijil halal dengan logo Jakim.
Katanya, ini penting kerana sijil halal yang dikeluarkan Jakim telah diiktiraf dan diakui seluruh dunia.

''Dari segi penyelidikan sebelum sijil halal dikeluarkan juga akan terus dijalankan oleh pegawai Jakim yang akan berkhidmat di bawah HDC.

''Selain itu, latihan kepada pegawai juga akan terus dijalankan oleh Jakim," katanya.
Sehari kemudian Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) membuat komen berbunyi:
KUALA LUMPUR 11 April (UTUSAN) - Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) hari ini membantah langkah kerajaan memperkenalkan satu peraturan mewajibkan mereka yang mahu memeluk Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka. Naib Presidennya, Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, Macma berpendapat langkah kerajaan itu tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya ia hanya akan membantutkan usaha dakwah untuk menarik minat lebih ramai orang bukan Islam menganut Islam. Beliau berkata, banyak pihak tidak sedar bahawa bebanan serta tekanan menjadi saudara baru terutama di peringkat awal adalah amat hebat kerana kebanyakan keluarga tidak merestui mereka menganut Islam. ''Dugaan dan cabaran yang kami terima tidak sehebat mereka yang telah menganut Islam sejak dilahirkan.
Macma sendiri pernah menerima aduan yang mana hidup saudara-saudara baru tertekan selepas memberitahu status keislaman mereka pada keluarga masing-masing. ''Ini merupakan satu keadaan yang amat malang dan yang lebih malang lagi ada antaranya keluar dari Islam dan menganut agama asal. Keluarga mereka sanggup buat apa sahaja asalkan anak mereka itu kembali murtad,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas keputusan kerajaan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan memeluk Islam yang dibuat secara senyap-senyap seperti diamalkan sebelum ini, mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.
Mohd. Ridhuan berkata, beliau sendiri terpaksa memberitahu keluarganya selepas setahun memeluk Islam. Ujarnya, seperti yang dijangka kesemua ahli keluarganya termasuk ibu bapanya menentang keras tindakannya itu hingga beliau terpaksa berhadapan dengan cabaran itu secara berseorangan. ''Alhamdulillah Allah telah memberi kekuatan kepada saya untuk menghadapi cabaran tersebut, cuma apa yang saya mahu timbulkan di sini ialah mengenai penentangan hebat daripada keluarga saya walaupun saya telah menganut Islam selama setahun. ''Persoalannya bagaimana pula dengan mereka yang memeluk Islam dalam tempoh sehari atau seminggu dan mereka terpaksa memberitahu keluarga dalam tempoh terdekat.
Pada Hemat Saya di muka 10 ''Adakah dalam tempoh ini mereka mempunyai satu kekuatan yang mampu menahan tentangan daripada keluarga masing-masing? Saya tidak fikir mereka mampu menghadapinya,'' ujarnya. Beliau berkata, hakikatnya, kebanyakan keluarga bukan Islam di negara ini tidak mahu anak-anak mereka memeluk agama suci itu. ''Kita perlu akui sifat prejudis yang tinggi pada keluarga bukan Islam terhadap anak-anak yang memeluk Islam di Malaysia. Kita tidak boleh menafikan fakta ini,'' katanya lagi. Katanya, beliau bercakap berdasarkan pengalaman dan sehubungan itu Macma tidak mahu peraturan itu menyekat hasrat orang bukan Islam menganut Islam. ''Macma bimbang jika peraturan ini dikuatkuasakan ia akan lebih membebankan mereka dan akhirnya mereka kembali ke agama asal,'' tambahnya.
Ketika diberitahu tujuannya adalah untuk mengelakkan perkara berbangkit, beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya timbul kerana saudara baru mempunyai dokumen-dokumen sebagai bukti keislamannya. ''Jika tidak ada dokumen mayat mereka akan diserahkan kepada keluarga asal untuk diuruskan seperti kes Nyonya Tahir. Janganlah disebabkan timbul satu dua kes, kerajaan terburu-buru memperkenalkan peraturan ini,'' tambahnya. Dalam pada itu, beliau kesal dengan tindakan kerajaan yang tidak merujuk dengan mana-nama persatuan seperti Macma sebelum memperkenalkan apa jua peraturan berkaitan saudara baru.
Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin tampil mengeluarkan padangan beliau yang berbunyi:
KANGAR 11 April (UTUSAN) - Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berharap peraturan yang dicadangkan oleh kerajaan untuk mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam supaya mengisytiharkan status terkini mereka tidak akan menyukarkan atau mendatangkan kerugian. Katanya, peraturan itu tidak boleh dilakukan tergesa-gesa sebaliknya perbincangan lanjut perlu diadakan bagi memastikan perkara itu tidak memudaratkan mereka yang terbabit. "Saya setuju dengan peraturan itu tapi masih perlu perbincangan dilakukan," katanya di sini hari ini.
Mohd. Asri berkata, pengisytiharan memeluk Islam tidak menimbulkan masalah tetapi jika mereka yang terbabit diwajibkan memohon keizinan keluarga, ia akan menimbulkan masalah besar. "Saya tidak setuju sama sekali jika peraturan itu turut memasukkan perkara yang mewajibkan mereka memohon izin keluarga," katanya.
Beliau berkata, jika keizinan keluarga diwajibkan bermakna hasrat mereka yang terbabit untuk memeluk Islam akan terbantut kerana mereka akan berhadapan dengan tentangan. "Mana-mana orang yang telah dewasa mempunyai hak untuk memeluk Islam dan tidak perlu memohon keizinan keluarga," katanya. - Bernama
Lain-lain pandangan adalah seperti dalam petikan Utusan Malaysia bertarikh 11 April 2008 yang berbunyi:
KUALA LUMPUR 11 April - Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyambut baik cadangan kerajaan supaya orang bukan Islam yang mahu memeluk agama Islam memaklumkan perkara itu kepada keluarga masing-masing. Setiausaha Agungnya, Dr. Roslan Mohamad berkata, ini membuktikan bahawa Islam bukan satu agama yang mengamalkan sikap suka memaksa sebaliknya pengislaman seseorang itu dibuat secara terbuka dan atas kerelaan individu berkenaan.
Bagaimanapun PUM berharap cadangan itu tidak sampai menjadi suatu perkara yang wajib kerana ia akan menyulitkan urusan pengislaman seseorang bakal saudara baru. "Dalam Islam, kita disuruh memudahkan kerja dan bukannya menyulitkan," katanya semasa diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa peraturan itu bertujuan mengelak masalah di kemudian hari kepada semua pihak terutama apabila berlaku kematian. Roslan berkata, jika selepas pemberitahuan itu berlaku penentangan keluarga, ia bukan lagi satu masalah kepada bakal saudara baru itu. "Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi mereka, memberi bantuan kewangan kerana mereka termasuk di dalam asnaf orang yang berhak menerima zakat," katanya.
Di Ipoh, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pula mahu kerajaan melakukan kajian terperinci sebelum melaksanakan peraturan berkenaan kerana bimbang ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada bakal saudara baru. "Sekiranya dengan menceritakan masuk Islam itu mendatangkan mudarat dan ancaman kepada bakal saudara baru, adalah lebih baik tindakan masuk agama Islam itu disembunyikan (daripada pengetahuan keluarga)," katanya. Beliau yang kini berada di Singapura bagaimanapun menegaskan tidak menjadi kesalahan jika kerajaan mahu mengadakan peraturan sedemikian.
Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Suhaimi Mohamad berkata, pengalaman perebutan menguruskan jenazah pendaki Gunung Everest pertama negara, Allahyarham M. Moorty atau nama Islamnya Mohamad Abdullah selama sembilan hari dengan keluarga Allahyarham pada Disember 2005 membuktikan betapa pentingnya keluarga dimaklumkan apabila seseorang itu memeluk Islam.
Bagaimanapun, katanya, di dalam tentera, semua urusan termasuk urusan pertukaran agama dibuat dengan teliti dan direkodkan supaya sebarang masalah yang timbul dapat diatasi dengan cepat. "Tidak timbul masalah sama ada keluarga setuju atau tidak dengan hasrat anggota keluarga mereka hendak menerima Islam kerana dalam perlembagaan sendiri secara terang sudah menyebut yang seseorang itu boleh membuat keputusan sendiri bila dia mencapai umur 18 tahun," katanya. "Matlamat mengisytiharkan langkah hanyalah sebagai menghormati ibu bapa yang membesarkan kita dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus berbuat baik kepada keluarga walaupun berlainan agama," katanya.
Setiausaha Kongres India Muslim Malaysia, (Kimma) Kamal Batcha Nor Mohideen berkata, Kimma menyambut baik cadangan itu kerana ia akan mendekatkan lagi semua agama. - Bernama
Apa pandangan anda? dan Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri? Kenapa tidak mufti?

Monday, April 7, 2008

ASLI MALAYSIA - ISU GRADUAN MALAYSIA

Isu dan berita sering membincangkan mengenai pengganguran di kalangan siswazah. Isunya ialah adakah pengganguran itu disebabkan mereka tidak mempunyai kemahiran tertentu untuk memasuki pasaran kerja atau mereka terlalu memilih perkerjaan yang sesuai dengan citarasa mereka?

Daripada 60,000 graduan yang dikaji oleh MTEN, 42 peratus daripadanya masih lagi menggangur. Untuk menanganinya, kerajaan telah memperuntukan ratusan juta ringgit untuk memberikan mereka kemahiran tertentu untuk memudahkan lagi proses mereka memasuki pasaran kerja. " Antara usaha kerajaan ialah melaksanakan program “Prosper Siswazah” untuk menggalakkan siswazah menceburi bidang keusahawanan yang sebagai permulaan, seramai 200 graduan akan dibantu memulakan perniagaan mulai tahun depan dengan penbiayaan RM50 ribu bagi setiap usahawan. Bajet 2006 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyenaraikan bahawa Skim Usahawan Muda akan dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam bidang ICT, pelancongan, produk halal serta pemprosesan dan pembungkusan makanan.
Pusat Kemahiran Negeri juga turut menambah pengambilan pelatih dan memperkenalkan kursus baru di bawah Program Peningkatan Kemahiran Perindustrian melibatkan peruntukan RM100 juta untuk melatih 4,800 pelatih dan juga menggalakkan syarikat swasta menyediakan peluang pekerjaan kepada siswazah menggangur dan syarikat tersenarai yang membayar elaun kepada peserta di bawah program Latihan Graduan Menganggur diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh tiga tahun. Sekurang-kurangnya 1,000 siswazah menggangur dilatih oleh syarikat tersenarai dalam kumpulan Permodalan Nasional Bhd(PNB) dan Khazanah Nasional.
Namun begitu graduan sendiri alpa dalam mengenalpasti menjadi punca mengapa mereka sukar mendapatkan pekerjaan dan diantaranya ialah, ketiadaan ‘soft-skill’ seperti kemahiran komunikasi dan keyakinan menjawab soalan ketika ditemuduga, kurang daya ketrampilan dan lemah penguasaan bahasa Inggeris.
Kealpaan ni membuatkan mereka tidak memperlengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran supaya halangan dapat diatasi semasa proses temuduga.
Berkaitan isu pengganguran juga pihak Institusi Pengajian Tinggi seharusnya berusaha membina kurikulum akademik dan kurikulum bukan akademik yang boleh melahirkan graduan yang yang berpersonaliti unggul dan menjadi pemangkin dalam pembentukan masyarakat ke arah lebih progresif dan dinamik untuk siswazah atau peserta akan diserapkan memasuki mana-mana syarikat swasta yang terpilih untuk menjalani latihan kerja terutama dalam jurusan teknologi maklumat. Pihak IPTA/IPTS harus sedau bahawa golongan siswazah pada hari ini bukan sahaja harus memiliki kelayakan akademik tetapi turut sama dilengkapi dengan kemahiran kerja yang diperlukan oleh pasaran kerja.
Apa pendapat anda sebagai graduan?....

ASLI MALAYSIA - Semua remaja perempuan bermasalah pernah laku seks

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Sungguh mengejutkan apabila kajian seorang akademik tempatan mendapati kesemua 887 pelajar perempuan yang dikategorikan sebagai “berisiko tinggi” yang menuntut di sekolah menengah di sebuah negeri kecuali seorang, mengaku pernah melakukan hubungan seks.

Penemuan yang amat membimbangkan itu menunjukkan kemerosotan mendadak nilai moral remaja perempuan di negara ini dibuat oleh Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dr. Khaidzir Ismail melalui “Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi terhadap kalangan remaja perempuan berisiko tinggi atau bermasalah”.

Mereka yang berisiko tinggi itu terdiri daripada pelajar perempuan yang mempunyai masalah disiplin seperti kerap ponteng sekolah, melawan cakap guru dan sering melakukan salah laku lain serta berlatarbelakangkan keluarga yang bermasalah.
Melalui kajian selama tiga bulan yang berakhir Disember 2006 itu membabitkan pelajar menengah terdiri daripada tingkatan satu hingga lima, sebanyak 20 orang pelajar berisiko tinggi daripada setiap sekolah dipilih kaunselor sekolah masing-masing sebagai responden.
“Sungguh menyedihkan dan mengejutkan kerana daripada kesemua responden yang ditemu bual itu hanya seorang mengaku tidak pernah melakukan hubungan seks.
“Ini keputusan yang amat memeritkan namun ianya adalah satu realiti yang harus kita terima,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di Jabatan Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian UKM Bangi dekat sini hari ini.

Difahamkan kajian terhadap pelajar perempuan berisiko tinggi itu dilakukan berdasarkan inisiatif kerajaan negeri berkenaan yang menyedari mengenai kemerosotan moral golongan remaja di negeri itu berdasarkan kepada pendedahan yang sering dibuat media.
Hasil penemuan daripada kajian itu diharapkan dapat membantu kerajaan negeri untuk merangka modul latihan khas yang terancang dan teliti yang sesuai diterapkan kepada golongan itu.

Khaidzir berkata, kajian itu juga mendapati pelajar perempuan yang berumur lingkungan 15 dan 16 tahun adalah paling berisiko untuk terjerumus dalam pelbagai masalah disiplin termasuk cuba melakukan hubungan seks buat pertama kali.

Katanya, kajian itu juga mendapati kebanyakan pelajar perempuan itu berasal daripada keluarga bermasalah seperti ibu bapa masing-masing yang mempunyai masalah psikologi, bercerai, mengalami masalah kewangan dan kebanyakannya tinggal di rumah kos rendah.
“Kajian juga menunjukkan bahawa masalah itu bukan berasal daripada pelajar itu sahaja tetapi juga disebabkan pengaruh masalah rumah tangga yang dihadapi oleh ibu bapa mereka akibat tekanan hidup dan masalah lain,” katanya.

Beliau berkata, selain terbabit dalam hubungan seks, kajian juga mendapati 98 peratus daripada mereka mengaku mengambil dadah, terlibat dalam kongsi gelap (98 peratus), bahan lucah (97.3 peratus), berjudi (96.8 peratus), vandalisme (85.4 peratus) dan ponteng sekolah (77.2 peratus).
Khaidzir berkata, hasil kajian itu adalah satu petunjuk bahawa generasi kini berhadapan dengan masalah sosial yang kritikal.

“Walaupun hasil kajian ini agak mengejutkan, namun semua pihak perlu sedar tentang peranan mereka untuk membantu pelajar terbabit, bukannya menunding jari dan menghukum tanpa memberi jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Katanya, kebanyakan pelajar itu mempunyai kekurangan daripada aspek kemahiran akademik, komunikasi, memiliki kendiri yang rendah, kawalan diri yang rendah dan kemahiran penyelesaian masalah yang rendah.

Manakala Pengalaman Wanita JIM sendiri melalui Rumah Perlindungan dan Bimbingan Raudhatus Sakinah yang diketuai oleh Puan Rosmawati Zainal selaku Pengarah RS.

Sepanjang pengoperasian RS sejak tahun 1998 hingga tahun 2006, data menunjukkan ;

Daripada Jumlah keseluruhan Pelatih = 230 orang
18 tahun keatas = 156 orang
Bawah 18 tahun = 74 orang
IPT = 29 orangLiar = 45 orang
Seks Bebas = 72 orang
Rogol = 10 orang
Hamil = 173 orang

Kajian ini bukanlah kajian pertama yang dilakukan oleh ahli akademik. Antara kajian yang pernah dilakukan sebelum ini oleh Puan Mazlin Mohamad Mokthar, Pensyarah daripada UiTM bertajuk “Sex On Campus” yang disiarkan oleh NST pada 18 Ogos 2006, turut menggemparkan ramai pihak.

Sehubungan dengan itu, BAGAIMANAKAH kita sebagai masyarakat PRIHATIN dapat membantu menyelesaikan masalah ini.